WANITA DAN PERFUME
Assalam dan selawat keatas junjungan besar nabi Muhammad
S.A.W
سْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم
Haruman daripada minyak wangi yang dipakai seorang wanita
yang melintas di hadapan tadi masih kuat berbau walaupun wanita itu sudah
hilang daripada pandangan.
Dalam hati memuji-muji bau haruman minyak wanginya dan
tertanya-tanya jenama apakah minyak wangi yang dipakai oleh wanita itu.
Hmm, jika saya, yang juga seorang wanita pun terpikat dan
sukakan bau yang datang daripada wanita itu, kaum Adam juga pasti menyukainya
dan mereka pasti akan tertoleh-toleh untuk melihat gerangan wanita yang berbau
sangat harum itu.
Jika hal demikian terjadi, maka berdosalah wanita itu kerana
telah menarik minat (atau mungkin nafsu) kaum Adam terhadapnya.
Memang menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik
dan wangi. Ini kerana Allah juga sukakan kecantikan dan menggalakkan hamba-Nya
berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah. Hal ini
bersesuaian dengan maksud surah Al-A'raaf, ayat yang ke-31:
"Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah
berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan
makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah
tidak suka akan orang yang melampaui batas."
Galakan untuk berhias ini bukan sahaja untuk kaum lelaki,
bahkan juga untuk kaum wanita. Akan tetapi, perhiasan kaum wanita hanya terhad
kepada golongan tertentu. Mereka tidak boleh berhias dan mempamerkan perhiasan
mereka pada khalayak ramai seperti firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31
yang bermaksud :
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman
supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan
tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa
mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri
mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari
orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau
kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah
mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari
perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai
orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi
iaitu harus, sunat, makruh dan haram. Wallahu'alam.
Harus
Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian
ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka.
Selain daripada itu, wanita tidak diharuskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w
telah bersabda yang bermaksud,
"Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu
memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu..." (Riwayat an-Nasa'is dari
Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan
menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati
suaminya.
Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya,
ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika
menyambut tetamu wanita.
Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan
berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah
bersabda yang bermaksud,
"Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan
tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang
(jelas) warna dan tersembunyi baunya" (Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan
ihram. Aisyah r.a berkata,
"Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan
haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak
wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami
berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw
melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak
melarang)" (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini
telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah
fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan "makruh memakai
wangi-wangian ketika berpuasa". Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah
pendapat ijmak.
Haram
"Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi
satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina" (Abu Dawud,
Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai
minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga
ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)."
(Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan
seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu
beliau menegur "Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat
wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan
mandi......" (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda,
"Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang
asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu
majlis, maka ia adalah demikian, demikian...(penzina)" (Riwayat Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum
wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga
dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan
suaminya.
Allah jualah yang Maha Mengetahui. Wassalam…
Sumber dari iloveislam…
Comments
Post a Comment