Wednesday, December 8, 2010

Yakjuj dan Makjuj satu kajian

Saya teruskan artikel mengenai kaum Yakjuj dan Makjuj, iaitu satu kaum
ganas yang akan terus menjadi misteri kepada umat manusia di atas muka
bumi ini hinggalah sampai waktu hampir kiamat. Manusia tidak tahu
secara tepat bilakah kiamat akan terjadi tapi tanda-tanda kecil sudah
banyak. Kemunculan semula Yakjuj dan Makjuj di akhir zaman adalah salah
satu dari 10 tanda besar hampirnya kiamat. Sebenarnya Zulkarnain pun
merupakan satu misteri, siapakah dia sebenarnya dan di manakah tembok
yang telah dibina oleh baginda masih tidak mendapat jawapan yang jelas.
Kitab suci Al-Qur’an memberitakan semua ini agar umat Islam mengkaji
selanjutnya, itu kehendak Allah. Ia adalah keadaan yang lebih baik
berbanding “spoon-feeding” kerana ia akan menghidupkan minda dan
memajukan pemikiran. Dan kejadian-kejadian terserempaknya manusia di
atas muka bumi ini dengan UFO dan alien menyebabkan kita ingin tahu
lebih lanjut adakah ianya ada kaitan langsung dengan kaum Yakjuj dan
Makjuj dan adakah sebahagian kecil dari kaum ini telah terlepas ke atas
muka bumi?

Siapakah sebenarnya Yakjuj dan Makjuj? Dari sumber Al-Qur’an dan Hadis,
ternyata bahawa mereka ini adalah dari bangsa manusia. Jelasnya, mereka
adalah anak-anak Adam juga. Mereka adalah dari keturunan Yafits bin Nuh
a.s. Umur mereka panjang-panjang dan berkembang biak mengatasi bilangan
manusia di atas muka bumi. Saya berpendapat bahawa mereka ini terkepung
atau terpenjara di bawah bumi di planet bumi ini sendiri, dan di bawah
bumi terdapat tempat-tempat kediaman selesa yang amat besar (bukan
semata-mata bersaiz gua).
Bagaimanakah rupa kaum Yakjuj dan Makjuj menurut sumber hadis? Dalam
Fathul-Bari terdapat berbagai riwayat yang menyebut mengenai rupa kaum
ini, dan ia boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu (1) Sebahagiannya
punya ketinggian seperti pokok Arz, iaitu sekitar 120 kaki (2)
Sebahagiannya setinggi empat hasta dan selebar empat hasta (3)
Sebahagiannya akan jadikan sebelah dari telinganya sebagai hamparan
untuk tidur sementara telinga sebelah lagi sebagai selimut. Ada juga
riwayat menyatakan bahawa tinggi mereka 2 hasta dan yang paling tinggi
ialah tiga hasta. Tapi kesemua riwayat-riwayat itu dianggap lemah dan
tidak layak dijadikan hujah. Sebuah hadis sahih diriwayatkan oleh
Nawwas bin Saman dalam Hadis Muslim menyatakan bahawa kaum Yakjuj dan
Makjuj adalah amat kuat dan gagah dan tidak mampu dikalahkan oleh
manusia di muka bumi. Diriwayatkan juga bahawa mereka ini punya muka
yang lebar, mata kecil, rambutnya kelabu keputihan dan muka mereka
adalah seperti perisai yang ditutupi oleh kulit. (Musnad Ahmad).


Berapa ramaikah bilangan kaum Yakjuj dan Makjuj ini? Dari sumber-sumber
hadis, ternyata bahawa bilangan mereka amat ramai dan jauh lebih ramai
berbanding manusia yang berada di atas muka bumi. Menurut riwayat
Abdullah bin Umar r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah bersabda “Allah
telah membahagikan manusia kepada 10 bahagian. Sembilan bahagian ialah
Yakjuj dan Makjuj sementara bakinya (iaitu bahagian kesepuluh) ialah
manusia biasa (yang di atas muka bumi)”. Ini bermakna jika seluruh umat
manusia di atas muka bumi berjumlah 6 bilion orang, jumlah mereka ialah
sekitar 54 bilion orang. Dengan bilangan sebegitu ramai, logikkah bagi
mereka mendiami bawah bumi yang “sempit”? Saya berpendapat bahawa
sebenarnya manusia di atas muka bumi tidak tahu keadaan sebenar di
bawah bumi. Teori magma (bahawa di bawah bumi suhunya amat panas)
mungkin ada kebenarannya tetapi teori planet bumi berlubang tidak boleh
ditolak begitu saja apabila kita mengambilkira faktor kaum Yakjuj
Makjuj dan juga berita mengenai “dabbatul ‘ard”. Sekadar menambah
pengetahuan, mungkin anda tahu bahawa California di Amerika itu
berlubang di bawahnya, dan seluruh bumi California itu mendap sekitar 3
inci setiap tahun. California mungkin akan runtuh dan tenggelam ke
dalam laut pada satu hari nanti.
Mengapakah Yakjuj dan Makjuj tidak mampu memecahkan tembok Zulkarnain
zaman berzaman sedangkan Zulkarnain hanya membina tembok itu dalam
jangkamasa yang singkat? Kalaulah kaum Yakjuj dan Makjuj ini
berteknologi tinggi, tentulah mereka dapat memecahkan tembok itu dengan
mudah. Sebenarnya Allah belum menghendaki Yakjuj Makjuj keluar semula
ke permukaan bumi kerana masanya belum sampai. Abu Hurairah r.a.
meriwayatkan bahawa pada setiap hari Yakjuj dan Makjuj cuba menggali
atau memecahkan tembok Zulkarnain hinggalah mereka sampai ke peringkat
bila mana mereka sudah nampak cahaya di luar sana. Kemudian mereka
pulang dengan berkata “Esok kita akan dapat membolosinya”. Tapi Allah
telah menjadikan tembok itu kembali ke bentuk asalnya menyebabkan
mereka terpaksa menggalinya sedari mula. Proses ini berterusan hari
demi hari selama mana Allah menghendaki mereka ini terkepung. Bila
Allah menghendaki mereka ini keluar, di hujung hari mereka menggali itu
mereka berkata “InsyaAllah, esok kita akan dapat membolosinya”. Pada
esoknya mereka akan dapati tembok itu berkeadaan sebagaimana mereka
telah tinggalkan hari semalam, dan setelah memecahkan bakinya itulah
mereka akan keluar (Ahmad, Tirmidhi, Ibn Majah).
Mengenai hadis di atas Ibn Arabi berpendapat bahawa sebenarnya Allah
masih tidak mengizinkan mereka keluar. Dijangka mereka masih boleh
bekerja memecah tembok di waktu malam dengan bergilir kerana mereka
ramai. Menurut riwayat Wahab bin Munabbih, kaum Yakjuj dan Makjuj ini
mempunyai teknologi (punya banyak jenis peralatan), dan mereka boleh
dengan mudah gunakan peralatan mereka untuk keluar. Ibn Arabi
menyatakan bahawa perkataan “InsyaAllah” tidak pernah mereka ucapkan,
hinggalah sampai pada saat bila mana Allah menghendaki mereka keluar,
maka mereka akan mengucapkannya.
Untuk rujukan, berikut petikan hadis dalam bahasa Inggeris: Abu
Hurayrah (may Allah be pleased with him) reports that the Prophet
(peace and blessings be upon him) said: “Every day, Gog and Magog try
to dig a way out through the barrier. When they begin to see sunlight
through it, the one who is in charge of them says, ‘Go back; you can
carry on digging tomorrow,’ and when they come back, the barrier
becomes stronger than it was before. This will continue until their
time comes and Allah wishes to send them forth. They will dig until
they begin to see sunlight, then the one who is in charge of them will
say, ‘Go back; you can carry on digging tomorrow, Insha’Allah.’ In this
case, he will make an exception by saying Insha’Allah, thus relating
the matter to the Will of Allah. They will return on the following day,
and find the hole exactly as they left it. They will carry on digging
and come out against the people. They will drink all the water, and
find the hole exactly as they left it, and the people will entrench
themselves in their fortresses. Gog and Magog will fire their arrows
into the sky, and they will fall back to earth with something like
blood on them. Gog and Magog will say, ‘We have defeated the people of
earth, and overcome the people of Heaven.’ Then Allah will send a kind
of worm in the napes of their necks, and they will be killed by it…
‘By Him in Whose Hand the soul of Muhammad is, the beasts of the earth
will become fat.’” (Reported by At-Tirmidhi, Ibn Majah, and Ahmad)
Dr. Fauzi Deraman, Pensyarah Jabatan Al-Qur’an dan Al-Hadith, Akademi
Pengajian Islam Universiti Malaya pernah menyatakan mengenai kaum
Yakjuj dan Makjuj. Menurut beliau, Yakjuj dan Makjuj bukanlah haiwan
atau spesis lain tapi berasal dari keturunan Adam a.s. Yakjuj dan
Makjuj adalah dari keturunan Yafits, iaitu salah seorang dari tiga anak
lelaki Nuh a.s. Keturunan Yafits ini berkembang biak melewati masa
sehinggalah Zulkarnain membina tembok yang menghalang mereka keluar
dari lokasi mereka.

“Selain dari berita Yakjuj dan Makjuj dalam Al-Qur’an, terdapat banyak
hadis yang kuat membicarakan mengenai kaum ini. Namun ulama berbeza
pendapat mengenai ciri-ciri kaum ini. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad,
ciri fizikal Yakjuj dan Makjuj ialah bermuka bulat dan kulit kekuningan
seperti wajah kebanyakan penduduk Asia Tengah. Ada pendapat lain
menyatakan bahawa Yakjuj dan Makjuj berasal dari bangsa Tartar dan
Monggol, dan lokasi tahanan mereka adalah di kawasan pergunungan
Caucasus yang luas. Kebanyakan ulama menyatakan bahawa kaum Yakjuj dan
Makjuj terus wujud sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia
manusia oleh Allah dengan tembok yang dibina oleh Zulkarnain.
“Tugas kaum Yakjuj dan Makjuj ini ialah mengorek tembok tersebut untuk
tembus ke muka bumi tetapi Allah masih menghalang mereka dengan kembali
meneguhkan tembok tersebut sehinggalah hampirnya hari kiamat. Bila
hampir kiamat, Allah mengizinkan tembok itu runtuh dan Yakjuj Makjuj
bebas ke permukaan bumi. Peristiwa ini menjadi salah satu daripada 10
tanda besar kiamat. Yakjuj dan Makjuj akan muncul selepas kematian
Dajal yang dibunuh oleh Nabi Isa a.s. Kaum Yakjuj dan Makjuj akan
mendatangkan kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan kaum Yakjuj dan
Makjuj dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada sesiapa
yang mampu menewaskan mereka.
“Nabi Isa a.s. memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di
pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj. Kemudian
baginda berdoa ke hadrat Allah lalu Allah membinasakan kaum Yakjuj dan
Makjuj dengan mengutuskan ulat yang menyerang belakang badan mereka
hingga mati. Selepas kaum Yakjuj dan Makjuj mati serta menjadi busuk,
Allah mengutuskan burung besar untuk mengangkut dan membersihkan
mayat-mayat itu daripada muka bumi.
“Ulama juga cenderung berpendapat bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj berasal
dan di kurung di benua Asia Tengah berdasarkan tafsiran Ayat 90 Surah
Al-Kahfi yang menyebut bahawa Zulkarnain sampai “di tempat terbit
matahari” iaitu timur dunia.
“Ketika kemunculan semula, kaum Yakjuj dan Makjuj dikatakan akan menuju
ke sebuah tasik di Palestin dan akan minum air tasik itu sehingga
kering. Kaum ini juga dikatakan memiliki zuriat yang ramai dan mereka
ini tidak akan mati sehingga melahirkan lebih 1,000 zuriat (umur mereka
panjang sebagaimana umur anak Adam sebelum taufan Nuh a.s.). Kaum
Yakjuj dan Makjuj ini hebat, tiada siapa yang mampu menewaskan mereka,
dan mereka hanya binasa dengan kekuasaan Allah.
“Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada menyatakan kebimbangan baginda
kerana pada zaman baginda, kaum Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah
berjaya menebuk benteng Zulkarnain menjadi sebesar bulatan ibu jari dan
jari telunjuk. (Saya salinkan di sini petikan hadis dalam bahasa
Inggeris: Zainab-b-Zahash says: “Once the Prophet Peace and blessings
be upon him awoke from such a sleep that his face was red and these
words were on his tongue, “There is none worthy of worship but Allah.
Destruction is upon the Arabs on account of that evil which has come
close to them. Today a hole as big as this has opened in the wall of
Yajuj and Ma’juj. (The Prophet Peace and blessings be upon him
indicated the size of the hole with his finger and thumb)”
(Bukhari/Muslim) In the lengthy Hadith of Nawwas-b-Saman it has been
mentioned, “And Allah will send Yajuj and Ma’juj and they will come
from every lofty place.” (Muslim)
Begitulah hasil temubual seorang pemberita, Nasron Sira Rahim dengan
Dr. Fauzi Deraman. Saya pula telah mencatat semula isi kenyataan beliau
menggunakan gaya bahasa saya sendiri, di mana perlu, tanpa menjejaskan
fakta-faktanya yang asal. Saya harap petikan kenyataan dari Dr. Fauzi
ini dapat anda renungkan dan kaitkanlah dengan artikel-artikel yang
telah saya catat sebelum ini.
Kewujudan kaum Yakjuj dan Makjuj ini bukan hanya diberitakan dalam
Al-Qur’an, tapi juga dalam kitab-kitab terdahulu iaitu Taurat dan
Injil. Orang-orang Yahudi menyebut sebagai Gog dan Magog. Mereka
percaya bahawa Gog (Yakjuj) adalah nama satu kaum yang berasal dari
anak-cucu Yafits bin Nuh a.s. tapi mereka berpendapat bahawa Magog
adalah nama bagi sebuah tempat atau kawasan. Kaum Nasrani pula
berpendapat bahawa Gog dan Magog adalah nama bagi kaum. Kedua-dua agama
ini juga percaya bahawa kaum Gog dan Magog ini adalah ganas lagi jahat
serta membuat kerosakan di muka bumi. Al-Qur’an telah memberitakan
secara jelas mengenai hal ini, pertamanya ialah bahawa mereka ini
adalah kaum dan bukannya tempat, kedua ialah kisah pembinaan tembok
pemisah oleh Zulkarnain, dan ketiganya ialah hakikat mereka ini akan
muncul semula ke muka bumi bila kiamat sudah hampir.
Di manakah letaknya tembok yang dibina oleh Zulkarnain? Ada pendapat
yang menyatakan bahawa ianya terletak di Derbent di Asia Tengah, iaitu
di Daerah Hissar, kira-kira 120 batu di tenggara Bukhara. Kawasan itu
amat sempit, dengan batu-batu seperti dinding, dan ia berada di laluan
utama antara Turkestan dan India. (latitude 38 degrees N; longitude 67
degrees E). Pada masa sekarang ianya dikenali dengan nama
Turkish-Buzghol Khana (rumah kambing), tapi di masa silam ia dikenali
sebagai Tembok Besi (Babul Hadid dalam bahasa Arab, Dar-i-ahani dalam
bahasa Parsi dan Tie-men-kuan dalam bahasa China). Pada masa kini
tembok besi itu sudah tiada lagi, tapi ianya masih ada pada kurun ke
17, bila seorang pengembara China bernama Hiouen Tsiang nampak tembok
itu dalam pengembaraannya ke India. Beliau nampak pintu gerbang dibuat
dari besi dan padanya ada tergantung loceng. Berhampirannya ada sebuah
tasik yang bernama Iskandar Kul, yang mungkin ada kaitan dengan
Iskandar Zulkarnain. Al-Maqdis, seorang pengembara bangsa Arab dan
pakar geografi, telah menulis sekitar 375 Hijrah (985-986 Masehi)
bahawa Khalifah Abbasiyah bernama Al-Wathiq (842-846 Masehi) telah
menghantar satu misi ke Asia Tengah untuk melaporkan mengenai Tembok
Besi ini. Mereka telah menemukan puing (defile) selebar 150 ela, di
atas dua tiang pintu (jambs) yang dibuat dari kepingan-kepingan besi
yang telah dipeteri menggunakan timah cair, dan di sana terdapat dua
pintu gerbang besar yang tertutup rapat. (Saya sendiri berpendapat
bahawa tembok Zulkarnain bukan di Bukhara).

Ada pendapat yang meneliti dengan lebih terperinci. Sheikh
Hifzur-Rahman dalam “Stories of the Qur’an” telah menuliskan bahawa
“Yakjuj Makjuj melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di kawasan
yang luas, dan kerana gangguan mereka ini, banyak tembok dan dinding
telah dibina di zaman dan tempat yang berlainan oleh raja-raja zaman
silam. Ada empat yang paling terkenal:
1) Tembok Besar China, dibina oleh Raja China 3,460 tahun selepas Nabi Adam a.s.
2) Tembok di Asia Tengah berhampiran Bukhara dan Tirmidh, di tempat bernama Derbent.
3) Tembok di Degistan Rusia, juga dikenali sebagai Derbent berhampiran Laut Caspia.
4) Tembok yang berada di bahagian barat Derbent di Degistan Rusia itu, iaitu di kawasan Caucasus.
Beliau berpendapat oleh kerana tembok-tembok di atas dibina untuk
tujuan yang sama (melindungi rakyat dari gangguan kaum yang ganas) maka
amatlah sukar untuk menentukan secara tepat di manakah sebenarnya
tembok yang dibina oleh Zulkarnain. Tiada siapa yang berpendapat Tembok
Besar China dibina oleh Zulkarnain kerana ianya berada di bahagian
timur sedangkan Al-Qur’an memberitakan bahawa tembok Zulkarnain berada
di arah utara. Pakar-pakar sejarah seperti Masoodi, Istakhri dan Hamawi
berpendapat bahawa tembok Zulkarnain ialah sama ada di Degistan atau di
Caucasus. Seorang pakar ilmu hadis, iaitu Allama Anwar Shah Kashmiri
dalam bukunya Aqeeda-tul-Islam berpendapat bahawa tembok Zulkarnain
berada di kawasan Caucasus. Allama Aloosi pula berpendapat bahawa
kedudukan tembok Zulkarnain tidak dapat diketahui secara tepat, dan
besar kemungkinan ia sebenarnya berada jauh di sebalik gunung-ganang
yang dipisahkan oleh laut yang luas.
Kesimpulannya. Setelah membaca berbagai sumber hadis dan pendapat ulama
di atas tadi, semakin jelaslah pada kita semua bahawa kaum Yakjuj dan
Makjuj ini adalah anak Adam juga, iaitu dari keturunan Yafits bin Nuh
a.s. Mereka ini dikatakan berjumlah begitu ramai, iaitu 9 kali lebih
ramai berbanding bilangan manusia di atas muka bumi. Umur mereka pun
panjang-panjang, membolehkan mereka beranak-pinak begitu ramai sebelum
mereka mati. Mereka juga dikatakan begitu kuat dan hebat, hinggakan
seluruh manusia di bumi tidak terdaya mengalahkan mereka. Namun mereka
akhirnya akan mati bergelimpangan akibat serangan “ulat”. Walaupun
mereka ini hebat dan kuat (hampir pasti juga mereka ini berteknologi
canggih), mereka tidak dapat memecahkan tembok Zulkarnain menggunakan
segala kepakaran dan teknologi yang ada selagi Allah tidak mengizinkan.
Saya telah catat dalam artikel sebelum ini mengenai kemajuan teknologi
kaum-kaum sebelum terjadinya taufan Nuh a.s., dan hakikat bahawa mereka
itu, termasuk Nuh a.s. sendiri berumur panjang, sekitar 1,000 tahun.
Ada sarjana berpendapat bahawa jumlah mereka pada ketika itu ialah 10
bilion orang, tapi kesemua mereka telah pupus ditenggelami banjir
besar. Manusia yang terselamat hanyalah yang beriman, yang menaiki
bahtera bersama Nuh a.s. Ada kemungkinan bahawa antara yang terselamat
ini telah mewarisi beberapa teknologi maju kaum yang telah pupus
tersebut, dan sempat mengajarkan teknologi tersebut kepada anak-cucu
mereka. Termasuklah juga kepada Yafits iaitu bapa kepada Yakjuj (Gog)
iaitu datuk-nenek kaum Yakjuj dan Makjuj ini. Artifak-artifak pesawat
terbang silam yang telah ditemui oleh para pengkaji serata dunia,
ditambah lagi oleh catatan-catatan dalam kitab-kitab kuno India dan
China membuatkan kita dapat menerima hakikat bahawa di zaman silam
sudah wujud teknologi yang amat maju, dan sebahagiannya, kalau tidak
kesemuanya, tentu telah diwarisi oleh kaum Yakjuj dan Makjuj yang ramai
ini.

Saya berpendapat bahawa kekuatan dan kehebatan kaum Yakjuj dan Makjuj
ini adalah bersebab dari teknologi canggih yang ada pada mereka. Mereka
mungkin punya senjata pemusnah yang hebat (sebagaimana kesan-kesan
kemusnahan di Mohenjo-Daro dan Harappa - baca artikel sebelum ini) dan
mungkin lebih hebat dari senjata nuklear yang ada pada manusia di bumi
pada masa sekarang, kerana pada ketika mereka keluar nanti, mereka
tidak mampu dikalahkan oleh manusia. Maksudnya pada ketika itu
kemusnahan yang hebat akan berlaku, dan ramai manusia di muka bumi akan
mati. Manusia boleh terselamat jika mereka melarikan diri ke
gunung-ganang menjauhi kaum ini.
Maka setelah membaca sumber-sumber hadis dan pendapat ulama di atas
tadi, adakah anda masih anggap bahawa UFO dan alien berasal dari
angkasa lepas? Atau, adakah anda anggap UFO itu adalah kenderaan kaum
Yakjuj dan Makjuj dan alien itu adalah kaum Yakjuj dan Makjuj? Saya
sendiri berpendapat bahawa UFO dan alien bukan datang dari angkasa
lepas. Ia berasal dari planet bumi ini sendiri. Sama ada UFO itu
kenderaan Yakjuj dan Makjuj dan alien itu adalah Yakjuj dan Makjuj
belumlah dapat disahkan oleh mana-mana manusia di atas muka bumi ini.
Ini menyedarkan kita bahawa ada banyak lagi misteri yang masih tidak
dapat dibongkar oleh manusia, walaupun manusia kini menganggap mereka
sudah serba canggih. Maka kalau alien itu tidak ada kaitan langsung
dengan Yakjuj dan Makjuj, apakah sebenarnya alien itu dan siapakah
sebenarnya yang mencipta UFO yang berbagai bentuk itu?
Saya berpendapat bahawa sepatutnya umat Islam mengkaji dan menemukan
fakta-fakta berkaitan ini mendahului apa yang terdaya dicapai oleh
Barat dan agama-agama lain. Ini kerana pada kita ada Al-Qur’an, kitab
terakhir dan teragung (The Final Revelation) yang mana ayat-ayat
mukjizatnya telah memecahkan persoalan kitab-kitab terdahulu darinya
(terutamanya Taurat dan Injil) dan memberikan penjelasan. Kita patut
bangkit semula menjadi umat yang menggunakan akal fikiran, bukan hanya
punya akal fikiran. Mengenai persoalan Yakjuj dan Makjuj, masa akan
menentukan jawapannya, jawapannya mungkin diperolehi tidak lama lagi,
mungkin juga kita tidak sempat menyaksikannya. Tapi yang pasti ialah
bahawa janji Allah itu benar dan pasti akan terjadi.
Semoga siri artikel mengenai Yakjuj dan Makjuj ini dapat menimbulkan
keinsafan dan mendorong diri setiap Muslim untuk berjuang memertabatkan
ilmu ke tahap yang diajarkan oleh Allah dan ke jalan yang diredhaiNya.
InsyaAllah.
Wallahua’lam.
sumber : ibnuyusof megasutera

No comments:

Post a Comment