Kisah Nabi SAW Tegur Sahabat Ketawa
Kisah Nabi SAW Tegur Sahabat Ketawa | Pada zaman ini
banyak kita lihat orang saling ketawa sesama mereka. Ketawa tu tak salah tapi
apa yang KisahBest.My kesalkan, ketawa secara
berlebihan itu boleh menyebabkan hati kita akan menjadi gelap. Seperti mana
dalam satu kisah Rasulullah SAW dalam menegur sahabat yang sedang ketawa. Suatu
ketika Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan untuk menunaikan solah lalu Baginda
s.a.w. ternampak satu kumpulan orang yang sedang ketawa berdekah-dekah
sehingga menampakkan gigi.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sekiranya kamu banyak
mengingati maut pasti tidak akan berlaku keadaan yang saya lihat ini.”
Oleh itu, perbanyakkanlah mengingati maut. Tiada satu hari
pun berlaku tanpa kubur berkata, “Aku ialah rumah kesunyian, rumah keseorangan,
rumah debu dan rumah ulat-ulat.”
Apabila seseorang mukmin dimasukkan ke dalam kubur
maka kubur akan berkata, “Kedatanganmu dialu-alukan, tersangat baik kerana kamu
telah datang kepadaku. Daripada kalangan manusia yang berjalan di atas muka
bumi, engkaulah yang paling aku sukai. Hari ini engkau telah datang kepadaku,
engkau akan melihat sebaik-baik layanan daripadaku.“ Selepas itu, kubur
akan meluas sejauh mata memandang. Kemudian akan terbuka satu pintu yang
melalui pintu itu akan masuk bayu dan wangi-wangian dari syurga secara
berterusan.
Apabila orang yang berdosa dimasukkan, kubur akan
berkata, “Tiada kata-kata aluan untuk kedatanganmu. Sangat jelek kedatanganmu.
Daripada kalangan manusia yang berjalan di atas muka bumi engkaulah yang paling
aku benci. Hari ini engkau telah diserahkan kepadaku, engkau akan melihat layan
daripadaku.”
Selepas itu kubur akan menghimpitnya sehingga
tulang-tulang rusuk akan berceragah antara satu sama lain. Kemudian 70 ekor
ular akan menghamburkan bisa ke atas bumi, maka sehelai rumput pun tidak akan
tinggal. Ular itu akan terus mematuk orang tersebut hingga ke hari kiamat.
Selepas itu, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kubur merupakan
satu kebun daripada kebun-kebun syurga atau pun satu lembah daripada
lembah-lembah neraka.” (Misykat)
Keterangan:
Takutkan Allah SWT ialah perkara yang sangat-sangat perlu
lagi penting. Perkara inilah yang menyebabkan Rasulullah SAW sering duduk
merenung. Mengingati maut akan menambahkan sifat takut kepada Allah SWT. Oleh
sebab itulah, Rasulullah SAW menyarankan supaya kita sering mengingati maut
kerana amalan ini penting dan memberi manfaat. Dan menjauhi ketawa secara
berlebihan merupakan salah satu cara untuk kita tidak leka mengingat kepada
maut.
Sumber: Melayukini.net
Comments
Post a Comment